Allah telah memuliakan kita kaum muslimin dengan menurunkan sebaik-baik kitab iaitu al-Quran sepertimana Allah
memuliakan kita dengan mengutuskan sebaik-baik rasul. Kaum muslimin adalah satu-satunya umat yang mempunyai
perutusan dari langit yang terpelihara daripada penyelewangan dan kebatilan. Perkara ini disebabkan kerana Allah
sendiri yang memeliharanya. Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran
dan sesungguhnya kami yang memeliharanya.” (al-Hajr, ayat 9)
Al-Quran adalah cahaya yang menerangi hati-hati manusia ke arah jalan kebaikan dan kebajikan. Antara ciri-ciri dan
keistimewaan al-Quran adalah pertama, ia merupakan kitab ilahi iaitu datangnya dari Allah yang tidak ada keraguan
padanya. Allah menurunkan al-Quran melalui Malaikat Jibrail. Firman Allah yang bermaksud : “ Suatu kitab yang
ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara teperinci yang diturunkan di sisi Allah Yang Maha Bijaksana
lagi maha Mengetahui.” (Hud, ayat 1)
Kedua ialah al-Quran merupakan kitab yang terpelihara sepertimana jaminan yang telah diberikan oleh Allah untuk
memeliharanya. Oleh demikian, kita dapati begitu ramai orang yang menghafal al-Quran dengan baik sejak kanak-kanak
lagi dan Allah memudahkan mereka untuk mengingatinya. Pemeliharaan tersebut juga didapati dengan penulisan alQuran yang rapi oleh para sahabat selepas ayat-ayat tersebut diturunkan dan dibukukan pada zaman khulafa’ alRasyidin.
Ketiga,al-Quran merupakan kitab mukjizat yang terbesar dikurniakan kepada nabi Muhammad yang mencabar kekuatan
dan pemikiran manusia. Manusia tidak mampu untuk menandingi al-Quran sama ada dari segi bahasa, makna dan ceritacerita yang terkandung di dalamnya. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan jika kamu tetap ragu-ragu tentang apa
yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), maka datanglah satu surah sepertinya dan ajaklah penolongpenolong kamu selain Allah jika kamu benar-benar orang yang benar.” (al-Baqarah, ayat 23-24)
Keempat, al-Quran merupakan kitab yang mudah difahami dan jelas maksudnya. Ia bukan kitab falsafah yang
mengandungi teori-teori yang memeningkan. Ahli falsafah menyebutkan bahawa falsafah itu apabila diterangkan dan
tidak difahami itulah dinamakan falsafah. Al-Quran diturunkan kepada manusia untuk difahami dan sasaran adalah untuk
manusia sejagat. Firman Allah yang bermaksud : “ dan sesungguhnya kami mempermudahkan al-Quran itu untuk
diingati, maka adakah ada orang mahu mengambil pengajaran.” (al-Qamar, ayat 17)
Kelima, al-Quran merupakan kitab agama secara keseluruhannya yang mengandung aspek akidah, ibadah, akhlak dan
perundangan. Sesiapa yang ingin memahami akidah yang betul dan suci, maka hendaklah ia menggali dari al-Quran. AlQuran memberi dalil-dalil yang jelas tentang keesaan Allah. Firman Allah yang bermaksud : “ Sekiranya ada di
langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah kedua-duanya telah rosak binasa. Maka Maha Suci Allah yang
mempunyai Arash daripada apa yang mereka sifatkan.” ( al-Anbiya’, ayat 22) Begitu juga al-Quran
mengandungi syariat dan peraturan untuk kehidupan manusia. Syariat ini meliputi aspek individu, keluarga, masyarakat,
ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa. Di samping itu, al-Quran menegaskan pembinaan akhlak melalui
penghayatan sifat sabar, gigih berusaha, tekun, bertawakkal dan reda dengan ketentuan ilahi.
Keenam, al-Quran merupakan kitab sepanjang zaman, bukan kitab untuk zaman tertentu atau untuk generasi tertentu.
Ini bermakna bahawa al-Quran merupakan kitab yang kekal abadi hingga hari Qiamat. Oleh itu, tidak harus kaum
muslimin mengatakan bahawa al-Quran itu sesuai untuk zaman nabi sahaja atau zaman para sahabat dan tidak sesuai
lagi pada zaman moden ini.
Ketujuh, al-Quran merupakan kitab kemanusiaan dan kehidupan. Oleh sebab itu, Allah menjadikan al-Quran sebagai
kitab petunjuk kepada manusia dan alam. Firman Allah yang bermaksud : “ Pada bulan Ramadhan, bulan yang di
dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan
pembeda (antara hak dan batil).” (al-Baqarah, ayat 185)
Inilah tujuh perkara ciri-ciri keistimewaan al-Quran yang membezakan kitab-kitab yang lain. Al-Quran diturunkan untuk
umat Islam mengimani dengan penuh keyakinan akan kebenarannya. Allah menyebutkan bahawa sifat mukmin sejati
adalah mereka yang tidak sama sekali ragu tentang kandungan al-Quran. Nabi Muhammad apabila tiba bulan
Ramadhan baginda akan bertadarus bersama Jibrail dan rumah yang sentiasa diterangi dengan bacaan al-Quran akan
dilimpahi rahmat dan berkat. Penurunan al-Quran merupakan nikmat yang terbesar dikurniakan Allah kepada umat
Islam. Oleh itu, kita harus bersyukur dengan membuktikannya melalui taat segala perintah al-Quran dan mengamalkan
ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya dan menjadikan kita sebagai ahli al-Quran., bukan sahaja dalam bulan
Ramadhan tetapi juga dalam bulan-bulan yang lain.
Memahami Tujuan-Tujuan al-Quran
Al-Quran ialah kalam Allah yang bermukjizat yang diturunkan kepada nabi s.a.w. yang ditulis di dalam mushaf yang
dipindah dengan tawatur dan menjadi ibadat membacanya.
Penurunan Al-Quran mengandungi tujuan-tujuan (maqasid al-Quran) yang tertentu.
Pertama, tujuan al-Quran ialah membetulkan akidah, mensabitkan ketuhanan Allah yang Maha Esa, tugas nabi-nabi dan
penyataan kewujudan hari akhirat. Al-Quran mengambarkan bahawa syirik merupakan satu perbuatan dosa yang besar
dan tidak diampuni oleh Allah. Kesemua para nabi menyeru manusia kepada Allah yang Maha Esa. Firman Allah yang
bermaksud : “ Dan sesunguhnya kami telah mengutus rasul pada setiap umat yang menyeru ; “sembahlah
Allah saja dan menjauhi Thaghut itu.” (al-Nahl, ayat 36) Di samping itu, al-Quran menjelaskan keperluan manusia
kepada nabi-nabi dan risalahnya, menerangkan tugas para nabi dan menolak dakwaan dan tanggapan yang salah
mengenai nabi. Al-Quran juga menjelaskan kewujudan hari akhirat itu benar dan pasti setiap manusia akan
menghadapinya.
Kedua, tujuan al-Quran ialah pengisytiharan terhadap kemuliaan manusia dan hak-haknya. Al-Quran menegaskan
bahawa manusia adalah makhluk yang mulia yang dijadikan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian. Oleh sebab itu, alQuran melarang sebahagian golongan pelampau yang mengharamkan perkara-perkara baik dan perhiasan seperti yang
diungkapkan oleh Allah dalam surah al-Araaf, ayat 32. Al-Quran juga memperakui hak-hak asasi manusia seperti
kebebasan bersuara, berfikir, beriktikad, tempat tinggal dan mencari reziki.
Ketiga, tujuan al-Quran ialah memberitahu bahawa manusia diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah. Allah yang
menciptakan manusia, memberi reziki, mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak dapat dihitung. Oleh itu, menjadi hak
Allah untuk manusia bersyukur dan bertakwa kepadanya. Orang yang bertakwa akan mendapat keberkatan, reziki yang
murah, terpelihara dari gangguan musuh, sentiasa mendapat petunjuk dari Allah dan berjaya dari azab akhirat.
Keempat, tujuan al-Quran adalah untuk menyucikan jiwa manusia (tazkiyyah al-Nafs). Al-Quran sentiasa menyeru
manusia supaya membersihkan jiwanya dengan melakukan kebaikan. Beruntunglah orang yang dapat memimpin
jiwanya ke arah keredhaan Allah. Secara fitrahnya, jiwa boleh terjerumus ke lembah kehinaan apabila ia tidak dididik dan
jiwa boleh mencapai tahap termulia apabila ia dibersihkan. Firman Allah yang bermaksud : “ Dan jiwa serta
penyempurnaan ciptaanya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaannya.
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang
mengotorinya.” (al-Syams, ayat 7-10)
Kelima, tujuan al-Quran ialah membina keluarga yang soleh yang menjadi teras kepada kekuatan umat. Al-Quran
menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perkahwinan itu dapat melahirkan ketenangan, kebahagiaan dan
rahmat. Al-Quran memerangi golongan yang menghalalkan homoseksual dan lesbian kerana ia melanggari fitrah
manusia. Di samping itu, Islam juga memerangi golongan yang mengharamkan perkahwinan atas alasan bahawa
perkahwinan adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Al-Quran juga memberi kedudukan yang mulia kepada
wanita dengan mengangkat martabat mereka menyamai kaum lelaki dari segi amalan dan ganjaran pahala.
Keenam, tujuan al-Quran adalah untuk membina umat yang mempunyai kemuliaan dan menjadi saksi atas umat yanglain. Umat yang mengasaskan kehidupannya berteraskan kepada akidah, syariat dan akhlak Islam sekaligus membawa
rahmat kepada manusia sejagat. Firman Allah yang bermaksud : “Dan tidak kami utuskan kamu (Muhammad)
kecuali untuk membawa rahmat bagi seluruh alam.” (al-Anbiya’, ayat 107)
Antara keistimewaan umat Islam ialah ia adalah umat rabbani iaitu umat yang hidup kerana mencari keredhaan Allah,
beribadat kerana Allah dan menjalankan manhaj Allah di atas muka bumi ini. Di samping itu, ia juga adalah umat
sederhana dan seimbang, umat yang sentiasa berdakwah ke arah kebaikan dan umat yang sukakan kesatuan dan
bersatu padu. Inilah empat ciri umat Islam berbanding dengan umat yang lain. Ketujuh, al-Quran menyeru kepada aspek
keinsanan yang tolong menolong antara sesama manusia. Umat Islam bukan umat yang menyendiri tanpa
menghiraukan bangsa-bangsa yang lain. Oleh itu, Islam menghormati kebebasan beragama dan perbezaan
pendapat.Umat Islam berperanan untuk menyeru manusia ke arah hidayah Allah, keimanan, kemakmuran dan
kebahagiaan yang hakiki. Dengan sebab demikian, Allah memuji umat ini kerana mereka menjalankan amar makruf wan
nahi annil mungkar. Inilah tujuh perkara antara yang digariskan oleh para ulamak sebagai tujuan al-Quran diturunkan
kepada manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan