Ya Allah ya Tuhan ku, dengan keagungan namaMu dan dengan sifatMu Yang
Maha Suci dan Mulia, bersihkanlah hati kami daripada segala keadaan yang
menjauhkan kami untuk memandang kebesaranMu, belas kasih sayangMu, matikanlah
kami di atas perjalanan ahli sunnah dan jemaah dengan rasa kecintaan untuk
mengadapMu, wahai Tuhan yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan.
Ya Allah, terangkanlah hatiku dengan ilmu pengetahuan dan jadikanlah
tubuh badanku untuk mentaatiMu, bersihkanlah hatiku dari fitnah dan jadikan
fikiranku dorongan untuk mengambil iktibar. Peliharakanlah daku daripada waswas
syaitan dan keluarkanlah daku daripada bahayanya, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih
sehingga syaitan itu tiada berkuasa ke atasku. Ya Allah ya Tuhan kami,
sesungguhnya kami telah beriman denganMu, maka ampunilah dosa-dosa kami dan
peliharalah kami dari azab neraka.
Ya Allah, berikanlah kepada aku segala apa yang telah Engkau janjikan
dengan perantaraan rasul-rasul Engkau. Janganlah Engkau kecewakan aku di hari
kiamat, sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji,
Ya Allah, segala puji-pujian tertentu bagi Allah, wahai Tuhan ku
sempurnakanlah cahaya keimanan ku dan ampunkanlah dosa ku, sesungguhnya
Engkaulah yang amat berkuasa di atas sesuatu.
Ya Allah, aku memohon kepada Engkau kebajikan dan kebaikan sama ada yang
segera atau yang lambat, aku meminta keampunan bagi dosaku di samping memohon
rahmat Engkau wahai Tuhan Yang Maha Belas Kasihan.
Wahai Tuhan ampunilah aku, rahmatilah aku,
maafkanlah aku, kurniakanlah aku kemudahanMu dan ampunilah aku segala apa yang
Engkau ketahui, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang aku tidak ketahui dan
Engkaulah Allah Yang Maha Mulia Lagi Maha Pemurah.
Ya Tuhan, tambahkanlah ilmu pengetahuanku, janganlah Engkau pesongkan
hatiku selepas mendapat hidayat pertunjukMu. Berilah daku di sisiMu rahmat,
sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Pemberi Kurnia.
Ya Allah, berilah kesejahteraan pada pendengaranku dan penglihatanku,
tidak ada Tuhan yang disembah
dengan sebenar-sebenarnya melainkan Engkau.
Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada seksa kubur, tidak ada Tuhan
yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Engkau, Maha Suci Engkau,
sesungguhnya daku adalah golongan orang yang zalim.
Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada kafir dan kemiskinan,
Ya Allah, aku
berlindung dengan keredhaanMu daripada kemurkaanMu, dengan keampunanMu daripada
seksaanMu, aku berlindung denganMu daripada kemurkaanMu, tidak upaya aku
menghitung segala pujian kepada Engkau sebagaimana Engkau telah memujikan diri
Engkau, bagi Engkaulah segala kepujian sehingga Engkau redha
kepadaku.
Ya Allah, perbetulkan aku kiranya aku telah menyeleweng, perkuatkanlah
aku di dalam pendirian ku, hidupkanlah aku dalam iman dan taat kepada Engkau,
matikanlah aku di dalam Islam, dari golongan mereka yang bertaubat, begitu juga
semasa soal di akhirat. Jadikanlah aku daripada mereka yang menerima suratan
amalannya dengan tangan kanan, jadikanlah aku daripada golongan mereka yang
beroleh keamanan pada hari kiamat, berilah kesukaan kepada aku ya Allah dengan
dapat memandang kepada wajah Engkau Yang Mulia dengan berkat rahmat Engkau wahai
Tuhan Yang Maha Mengasihi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan