Khamis, 31 Oktober 2013

KONSEP ‘LAILAHA ILLALLAH’ SEBAGAI SUATU CARA HIDUP YANG MENOLAK JAHILIYYAH

    Muqaddimah
    Islam adalah nizam (sistem hidup) yang kamil (lengkap) dan syamil (menyeluruh). Islam terbina di atas asas yang kukuh. Islam terdiri daripada rukun-rukun yang besar hinggalah kepada cabang-cabang dan ranting-rantingnya yang kecil. Rukun, cabang dan ranting tertegak di atas asasnya dan saling perlu memerlu antara satu sama lain. Islam umpama pokok, bermula daripada biji benih, kemudian mengeluarkan akar dan pucuk. Seterusnya ia membesar dan membentuk batang, dahan, cabang, ranting dan dedaun hingga menjadi sebatang pokok yang rendang, tegak dan kukuh. Namun, setiap helai daun dihubungkan terus dengan akarnya.
    Islam juga bererti penyerahan diri
    Islam juga bererti penyerahan diri sepenuhnya tanpa sebarang bantahan atau pengecualian kepada Allah SWT semata-mata. Implikasi daripada hakikat ini dengan tegasnya menyekat manusia daripada segala bentuk perhambaan kepada sesama hamba (manusia dan makhluk-makhluk lain). Yang dikehendaki ialah perhambaan manusia hanya kepada Allah SWT Yang Maha Esa. Orang Mu’min hanya akan tunduk dan patuh kepada kekuasaan dan peraturan Allah di dalam segenap urusan hidupnya.
    Tugas utama para rasul
    Tujuan utama Islam diturunkan ialah untuk memperbetulkan perhambaan manusia. Inilah juga tugas utama setiap Nabi dan Rasul. Nabi Muhammad SAW didatangkan untuk mengembalikan seluruh manusia supaya patuh dan memperhambakan diri hanya kepada Allah SWT dan seterusnya mengukuhkan kedudukan syari’at Allah SWT di muka bumi supaya benar-benar berfungsi dalam mengatur kehidupan manusia.
    Islam datang untuk membawa manusia supaya patuh kepada kekuasaan  dan pemerintahan Allah SWT seperti alam ini yang berjalan di atas landasan dan peraturan-Nya. Oleh kerana manusia adalah sebahagian daripada alam ini, manusia juga mestilah patuh kepada peraturan-Nya. Dengan itu barulah kehidupan manusia menjadi harmoni, bahagia dan sejahtera.
    Kehidupan yang terpancar daripada tauhid
    Konsep Lailaha Illallah (                                ) membawa pengertian perhambaan diri kepada Allah SWT di dalam kehidupan manusia. Kesan kalimah tauhid meliputi ini perasaan, tingkah laku, pegangan, konsep hidup dan segala amalan hidup manusia tanpa terpisah antara satu sama lain. Aqidah tauhid yang betul akan meresapi dalam setiap aspek hidup sama sepertimana darah dan urat saraf yang mengalir ke seluruh bahagian tubuh manusia.
    Kebebasan manusia
    Aqidah tauhid  merupakan pentafsiran yang menyeluruh tentang kewujudan dan kehidupan manusia.   Inilah rupa bentuk aqidah yang mesti disebatikan ke dalam jiwa manusia.  Apabila hakikat ini jelas dan pentafsirannya ditegakkan dalam pemikiran manusia, hati manusia akan bersih daripada seluruh kepalsuan dan kekotoran. Lepas bebaslah manusia daripada segala ikatan lain kecuali ikatan Allah Yang Maha Kuasa, Zat Yang Mutlak dan berkuasa penuh di alam ini. Hati manusia akan bebas daripada sebarang bentuk perhambaan selain daripada perhambaan kepada-Nya.
    Apabila manusia membebaskan hatinya daripada beriman kepada yang lain kecuali kepada Allah Yang Maha Esa serta berpegang teguh dengannya, manusia akan bebas daripada sebarang konkongan ideologi lain. Pemikirannya hanya tertumpu kepada Allah SWT Lenyaplah sebarang kekeliruan dan kekacauan yang menyesatkan manusia. Dia bebas daripada sebarang bentuk kemungkaran. Dia juga bebas daripada takut kepada kuasa-kuasa di dunia yang cuba menghalangnya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata.
    Masyarakat bertunjangkan pengabdian kepada Allah
    Masyarakat Islam ialah masyarakat yang menterjemahkan tuntutan kalimah tauhid secara menyeluruh  dalam kehidupan mereka.
    Setiap cabang dan bidang kehidupan masyarakat Islam dikuasai dan diawasi sepenuhnya oleh asas tauhid yang kukuh. Semua tindakannya terbit daripada pancaran cahaya aqidah. Setiap permasalahan hidupnya di bina di atas perhambaan  atau pengabdian kepada Allah SWT semata-mata.
    Lailaha Illallah (                             ) merupakan aqidah yang betul yang mampu mengangkat masyarakat Islam kepada suatu darjat yang paling tinggi dan mulia. Aqidah ini meletakkan masyarakat Islam dan anggota-anggotanya di tempat yang betul. Aqidah ini sentiasa membetul dan memperbaiki setiap langkah dan tindakan mereka dalam setiap keadaan, masa dan tempat. Aqidah ini merupakan tenaga penggerak yang sentiasa mengarahkan mereka kepada matlamat hidup yang suci dan jelas. Aqidah ini memimpin mereka untuk melalui jalan hidup yang terang dan selamat.
    Aqidah tauhid menolak jahiliyyah
    Konsep Lailaha Illallah (                         ) atau hakikat pengesaan Allah sebenarnya menolak segala bentuk jahiliyyah sama ada berupa nilai, pemikiran  atau pegangan hidup.
    Lailaha Illallah (                      ) membina satu asas kepada cara hidup masyarakat Islam dalam setiap bidang dan urusan. Oleh itu, masyarakat yang praktik hidupnya tidak menterjemahkan tuntutan tauhid ini digolongkan sebagai masyarakat jahiliyyah. Jahiliyyah adalah satu penyusunan masyarakat yang menolak hukum dan peraturan-peraturan Allah SWT Jahiliyyah melawan dan memusuhi Islam sebagai ad-din. Jahiliyyah merupakan musuh paling ketat kepada ‘Aqidah Islam.
    Sistem hidup jahiliyyah, pada hakikatnya, tidak menjadikan Allah sebagai Rabb dan Ilah walau pun mengakui ketuhanan Allah SWT Sistem hidup jahiliyyah hanya mengikut kehendak dan keputusan hawa nafsu manusia serta berhakimkan thaghut.
    Masyarakat jahiliyyah juga adalah masyarakat yang mengamalkan ciri-ciri hidup yang bertentangan dengan nilai-nilai Islam, yang tidak mengarahkan diri dan perhambaannya kepada Allah SWT semata-mata sama ada dalam i’itiqad, ‘ibadat atau syari’at yang merangkumi setiap aspek peraturan hidup.
    Masyarakat jahiliyyah ialah masyarakat yang mengakui Islam tetapi praktik ubudiyyah (pengabdian) dalam peraturan-peraturan dan perundangan hidupnya tidak kepada Allah SWT semata-mata. Masyarakat ini, walaupun merasakan beri’tiqad kepada Allah SWT, tetapi secara tidak disedari amalan dan penguatkuasaan  undang-undang, peraturan-peraturan dan nilai-nilai hidupnya bersumberkan selain daripada sumber Allah SWT.
    Bentuk masyarakat yang dijelaskan di atas tidak diakui Islam sebagai masyarakat Islam. Islam tidak memandang kepada cogan kata, sepanduk dan laungan sahaja sedangkan hakikat kehidupan masyarakat itu diisi dengan sifat-sifat jahiliyyah.
    Perlunya mengetahui hakikat jahiliyyah
    Sesiapa yang ingin menghayati Islam  dalam kehidupannya dan memperhambakan diri kepada Allah perlu sekali mengetahui hakikat jahiliyyah seperti diterangkan di atas. Jahiliyyah yang meliputi pemikiran, aliran, perancangan dan segala cacat cela serta bahayanya agar terselamat dan terpelihara daripada tipu dayanya. Dengan itu dapatlah seseorang itu membuat persediaan dan kelengkapan yang perlu untuk menentang dan menghadapinya.
    Menanggalkan jahiliyyah
    Manusia yang inginkan Islam mestilah menanggalkan diri dan memisahkan jiwa daripada cara hidup Jahiliyyah. Dia hendaklah memulakan perjalanan hidup baru bersama Islam. Perjalanan hidup yang bebas daripada tekanan nilai jahiliyyah sama ada dalam bentuk, konsep, adat istiadat, tradisi mahupun pimpinan.
    Satu perkara yang penting, terutama di peringkat awal da’wah dan pendidikan untuk menghayati Islam, ialah manusia perlu membersih dan memutuskan jiwa daripada sebarang campur aduk dan pencemaran antara Islam dengan jahiliyyah. Da’wah Islam sekali-kali tidak menerima sebarang tolak ansur dengan jahiliyyah atau mematuhi jahiliyyah. Tidak pernah terdapat titik pertemuan di antara Islam dengan jahiliyyah. Yang dikehendaki ialah menanggalkan sepenuhnya suasana, adat, tradisi, pemikiran dan konsep jahiliyyah. Juga yang dikehendaki ialah tertegak sepenuhnya pemahaman Islam dan praktik hidup Islam di bawah pimpinan Islam, dimana seluruh ketaatan serta penglibatan tertumpu kepada Islam.
    Kewujudan jahiliyyah melata
    Jahiliyyah sekarang dan pada setiap zaman tetap menolak hukum Allah SWT. Inilah antara pengenalan jahiliyyah di setiap tempat, keadaan dan jenis masyarakat. Jahiliyyah berada dalam segenap kemajuan dunia sama ada dalam pemikiran, politik, sosial mahupun ekonomi. Apabila manusia enggan menghubungkan diri dengan Allah SWT, maka di situ terdapat jahiliyyah. Dewasa ini manusia telah dikongkong oleh jahiliyyah yang amat pekat sehingga perkara yang dianggap sebagai aktiviti Islam pun diasaskan atas jahiliyyah.
    Jahiliyyah menolak hukum Allah
    Dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa orang Arab Jahiliyyah memang mengetahui dan mengakui Allah SWT sebagai Pencipta dan Pentadbir segala sesuatu, tetapi mereka menolak peraturan dan hukum Allah SWT dalam urusan hidup. Firman Allah SWT:
    “Sesungguhnya sekiranya engkau (Muhammad) bertanyakan mereka:
    Siapakah yang menjadikan langit dan bumi, nescaya mereka akan
    menjawab: Allah.” (Luqman: 25)
    “Katakanlah (Muhammad): Siapakah yang memberikan rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang berkuasa menciptakan pendengaran dan penglihatan, atau siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah mengatur segala urusan? Maka mereka menjawab: Allah. Maka katakanlah: Kenapakah kamu tidak bertaqwa (kepada Allah SWT)? (Yunus: 31)
    Golongan jahiliyyah mengakui hakikat ketuhanan tetapi mereka tidak mengikuti apa yang mereka akui. Mereka memperhambakan diri kepada ilah-ilah (termasuk isme-isme) selain Allah SWT. Mereka mengetahui Allah SWT tetapi tidak melaksanakan syari’at-Nya dalam realiti kehidupan.
    Syari’at dan aqidah tidak boleh dipisahkan
    Persoalan syari’at tidak boleh dipisahkan dengan persoalan asas Aqidah. Kata pemutus atau garis pemisah ialah sama ada berhukum dengan syari’at Allah SWT atau disifatkan sebagai jahiliyyah. Jika manusia ikhlas beriman dengan Allah SWT dan bertekad menerima Uluhiyyah Allah SWT, sudah tentu dia menerima hakimiyyah (pemerintahan) Allah SWT. Allah SWT Pencipta dan Pemilik kepada alam  semesta. Allah SWT Penentu hukum dan undang-undang. Dialah yang patut ditaati dan syariat-Nya sahaja yang wajib dipatuhi. Jika tidak, akan lahirlah jahiliyyah dan tertegaklah hukum-hukum yang mengikut hawa nafsu.
    Islam diturunkan untuk memastikan bahawa hanya satu sahaja tali penghubung yang menghubungkan manusia dengan Allah SWT. Apabila terputus tali ini maka tidak terdapat tali lain lagi yang dapat menghubungkan manusia dengan Allah SWT dengan hubungan yang suci, tinggi dan mulia.
    Jalan untuk menegakkan masyarakat Islam
    Masyarakat Islam bukan satu khayalan. Masyarakat Islam contoh telah pun wujud dan terbentuk secara praktik pada zaman Rasulullah SAW. Tenaga pembentukannya tidak lain melainkan ‘Aqidah at-Tauhid di bawah panji “Lailaha Illallah”(                           ). Aqidah inilah yang dibawakan baginda Rasulullah SAW mengikut arahan Allah SWT.
    Jalan yang bertitik-tolak dengan kalimah ‘Lailaha Illallah’ (                                 ) adalah jalan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA. Walaupun jalan ini menempuh pelbagai kesusahan, rintangan  dan kesakitan, Allah SWT Yang Maha Bijaksana tidaklah bermaksud untuk menyiksa Rasulullah SAW dan orang-orang mu’min. Allah SWT Maha Mengetahui bahawa itulah satu-satunya jalan untuk menegakkan masyarakat Islam yang mematuhi Allah SWT. Jalan inilah yang dapat membersihkan bumi Allah SWT daripada taghut. Bumi ini tidak akan bersih untuk Allah SWT semata-mata   melainkan apabila konsep Lailaha Illallah   (                                      ) menjadi penghayatan hidup manusia seluruhnya.
    Manusia adalah hamba Allah SWT. Manusia tidak akan menjadi hamba Allah SWT yang sebenarnya melainkan apabila dia tunduk dan patuh kepada perintah Allah dengan memegang panji Lailaha Illallah. Bagi hamba Allah yang hakiki, tiada kekuasaan selain kekuasaan Allah SWT, tiada syariat selain syariat Allah SWT dan tiada kepatuhan selain kepatuhan kepada Allah SWT. Hamba seperti inilah yang membentuk masyarakat Islam dan  bangsa Islam yang menghapuskan perbezaan warna kulit, di mana semua manusia hidup di bawah panji-panji Allah SWT.
    Menentang arus jahiliyyah
    Jahiliyyah telah sekian lama berakar umbi dan bertapak kukuh dalam kehidupan masyarakat. Jahiliyyah tidak sekadar menjelma dalam bentuk teori. Jahiliyyah menjelma dalam bentuk gerakan kemasyarakatan. Oleh itu usaha-usaha untuk menentang dan menghapuskannya tidak boleh sekadar teori, bahkan memerlukan kesungguhan dan persediaan yang meliputi segenap bidang. Ia juga memerlukan peraturan yang mantap, penyusunan yang rapi dan usaha-usaha yang berterusan. Dengan cara ini, InsyaAllah jahiliyyah yang luas dan berkembang itu dapat dilumpuh dan dihapuskan.
    Penutup
    Masyarakat Islam hanya akan terbentuk apabila konsep Lailaha Illallah disebatikan dalam jiwa individu dan jamaah muslimah. Masyarakat Islam tidak akan lahir selagi satu golongan manusia tidak terbentuk terlebih dahulu melalui proses keimanan yang mengikrarkan Lailaha Illallah. Proses imaniyyah ini sajalah yang dapat melahirkan ‘ubudiyyah kepada Allah SWT. ‘Ubudiyyyah ini merangkumi i’tiqad, ‘ibadat, syari’at dan peraturan hidup yang benar-benar berfungsi lagi praktikal dalam semua suasana dan amalan. Proses imaniyyah ini mampu membersihkan hati dan jiwa daripada sebarang bentuk perhambaan selain daripada perhambaan kepada Allah SWT. Proses imaniyyah ini akan mengawasi manusia daripada bermatlamatkan yang lain daripada Allah SWT. Proses imaniyyah ini akan melahirkan manusia yang menghayati Islam sebagai ad-din dan menolak segala bentuk jahiliyyah.
    Jika pada permulaan Islam iman menjadi tenaga pembangunnya, sudah tentulah iman jugalah yang akan membangunkan masyarakat Islam hari ini.

Rabu, 30 Oktober 2013

Uwais Al-Qarni, Menjadi Sebutan Penduduk Langit

Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ada seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang panjang, berpenampilan cukup tampan.
Kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada tempat sujudnya. Tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya.
Ahli membaca al-Quran dan selalu menangis, pakaiannya hanya dua helai dan sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakannya sebagai selendang. Tiada orang yang menghiraukan, tidak terkenal dalam kalangan manusia,namun sangat terkenal di antara penduduk langit.
Tatkala datangnya hari Kiamat, dan tatkala semua ahli ibadah diseru untuk memasuki Syurga, dia justeru dipanggil agar berhenti dahulu seketika dan disuruh memberi syafa’atnya.
Ternyata Allah memberi izin padanya untuk memberi syafa’at bagi sejumlah bilangan qabilah Robi’ah dan qabilah Mudhor, semua dimasukkan ke Syurga dan tiada seorang pun ketinggalan dengan izin-Nya.
Dia adalah ‘Uwais al-Qarni’ siapalah dia pada mata manusia…
Tidak banyak yang mengenalnya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak suara-suara yang mentertawakan dirinya, mengolok-olok dan mempermainkan hatinya.
Tidak kurang juga yang menuduhnya sebagai seorang yang membujuk, seorang pencuri serta berbagai macam umpatan demi umpatan, celaan demi celaan daripada manusia.
Suatu ketika, seorang fuqoha’ negeri Kuffah, datang dan ingin duduk bersamanya. Orang itu memberinya dua helai pakaian sebagai hadiah. Namun, hadiah pakaian tadi tidak diterima lalu dikembalikan semula kepadanya. Uwais berkata:
“Aku khuatir, nanti orang akan menuduh aku, dari mana aku mendapatkan pakaian itu? Kalau tidak daripada membujuk pasti daripada mencuri.”
Uwais telah lama menjadi yatim. Beliau tidak mempunyai sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua renta dan lumpuh tubuh badannya. Hanya penglihatan kabur yang masih tersisa.
Bagi menampung kehidupannya sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan hariannya bersama ibunya. Apabila ada wang berlebihan, Uwais menggunakannya bagi membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan.
Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mempengaruhi kegigihan ibadahnya. Dia tetap melakukan puasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.
Uwais al-Qarni telah memeluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke negeri Yaman. Seruan Rasulullah telah mengetuk pintu hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya.
Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur. Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya menarik hati Uwais. Apabila seruan Islam datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya, kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran.
Banyak tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Sekembalinya di Yaman, mereka memperbaharui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan Islam.
Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru datang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan.
Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengan sang kekasih. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah. Lebih dia beratkan adalah ibunya yang sedang sakit dan perlu dirawat. Siapa yang akan merawat ibunya sepanjang ketiadaannya nanti?
Diceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah S.A.W mendapat cedera dan giginya patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini sampai ke pengetahuan Uwais.
Dia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada Rasulullah, sekalipun ia belum pernah melihatnya.
Hari berganti dan musim berlalu, dan kerinduan yang tidak terbendung dan hasrat untuk bertemu tidak dapat dipendam lagi. Uwais merenungkan diri dan bertanya dalam hati, “Bilakah ia dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dengan dekat?”
Bukankah dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan perhatian daripadanya dan tidak sanggup meninggalkan ibunya sendiri. Hatinya selalu gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa Rasulullah.
Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya. Dia meluahkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan untuk pergi menziarahi Nabi S.A.W di Madinah.
Sang ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya. Beliau amat faham hati nurani anaknya, Uwais dan berkata,
“Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang.”
Dengan rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar dapat menemani ibunya selama mana dia pergi.
Sesudah siap segala persediaan, Uwais mencium sang ibu. Maka berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak lebih kurang empat ratus kilometer dari Yaman.
Medan yang begitu panas dilaluinya. Dia tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di malam hari. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.
Tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segera ia menuju ke rumah Nabi S.A.W, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah sayyidatina ‘Aisyah R.A sambil menjawab salam Uwais.
Segera sahaja Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun ternyata baginda tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Nabi S.A.W dari medan perang.
Bilakah beliau pulang? Sedangkan masih terngiang di telinga pesan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar ia cepat pulang ke Yaman.
“Engkau harus lekas pulang.”
Atas ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi S.A.W.
Dia akhirnya dengan terpaksa memohon untuk pulang semula kepada sayyidatina ‘Aisyah R.A ke negerinya. Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W dan melangkah pulang dengan hati yang pilu.
Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W langsung menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan bahawa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit dan sangat terkenal di langit.
Mendengar perkataan baginda Rasulullah S.A.W, sayyidatina ‘Aisyah R.A dan para sahabatnya terpegun.
Menurut sayyidatina ‘Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit-sakitan sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.
Rasulullah S.A.W bersabda: “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya.”
Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:
“Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi.”
Tahun terus berjalan, dan tidak lama kemudian Nabi S.A.W wafat, hinggalah sampai waktu khalifah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq R.A telah digantikan dengan Khalifah Umar R.A.
Suatu ketika, khalifah Umar teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni, sang penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kepada sayyidina Ali K.W untuk mencarinya bersama.
Sejak itu, setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, mereka berdua selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni, apakah ia turut bersama mereka. Di antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya yang terjadi sampai ia dicari oleh beliau berdua.
Rombongan kafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka. Suatu ketika, Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah.
Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, segera khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais turut bersama mereka.
Rombongan itu mengatakan bahawa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, beliau berdua bergegas pergi menemui Uwais al-Qarni.
Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W memberi salam. Namun rupanya Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam kedua tamu agung tersebut sambil bersalaman.
Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan tangan Uwais, untuk
membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais,
sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi S.A.W.
Memang benar! Dia penghuni langit. Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut,
“Siapakah nama saudara?”
“Abdullah.” Jawab Uwais.
Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun tertawa dan mengatakan,
“Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?”
Uwais kemudian berkata “Nama saya Uwais al-Qarni.”
Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah bahwa ibu Uwais telah meninggal dunia.
Itulah sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka.
Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah,
“Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian.”
Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata,
“Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripada anda.”
Karena desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.
Setelah itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais menolak dengan halus dengan berkata,
“Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”
Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya.
Namun, ada seorang lelaki pernah bertemu dan dibantu oleh Uwais. Ketika itu kami berada di atas kapal menuju ke tanah Arab bersama para pedagang. Tanpa disangka-sangka angin taufan berhembus dengan kencang.
Akibatnya, hempasan ombak menghentam kapal kami sehingga air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat itu, kami melihat seorang laki-laki yang mengenakan selimut berbulu di pojok kapal yang kami tumpangi, lalu kami memanggilnya.
Lelaki itu keluar daripada kapal dan melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.
“Wahai waliyullah, tolonglah kami!” Namun, lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi,
“Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah kami!”
Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata,
“Apa yang terjadi?”
“Tidakkah engkau melihat bahawa kapal dihembus angin dan dihentam ombak?” Tanya kami.
“Dekatkanlah diri kalian pada Allah!” Katanya.
“Kami telah melakukannya.”
“Keluarlah kalian daripada kapal dengan membaca Bismillahirrahmaanirrahiim!”
Kami pun keluar daripada kapal satu persatu dan berkumpul. Pada saat itu jumlah kami lima ratus lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak tenggelam, sedangkan perahu kami serta isinya tenggelam ke dasar laut.
Lalu orang itu berkata pada kami,
“Tidak apalah harta kalian menjadi korban, asalkan kalian semua selamat.”
“Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan?” Tanya kami.
“Uwais al-Qorni.” Jawabnya dengan singkat.
Kemudian kami berkata lagi kepadanya,
“Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir.”
“Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?” Tanyanya.
“Ya!” Jawab kami.
Orang itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air, lalu berdoa. Setelah Uwais al-Qarni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan. Setibanya di Madinah, kami membahagi-bahagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir di Madinah, tiada satu pun yang tertinggal.
Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafankannya.
Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebutan untuk mengusungnya.
Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,
“Ketika aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku pulang daripada menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk kembali ke kubur tersebut untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak terlihat ada bekas di kuburnya.”
(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang bersama Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan sayyidina Umar R.A.)
Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang.
Sejak dia dimandikan hingga jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.
Mereka saling bertanya-tanya “Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?”
“Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya.”
Agaknya mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa Uwais al-Qarni.
“Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di bumi tapi sangat terkenal di langit.”

Isnin, 30 September 2013

PANDUAN SOLAT SUNAT
CARA NABI S.A.W.

Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

 Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain


SOLAT JENAZAH

Telah sepakat di kalangan para ulamak bahawa setiap mayat orang Islam wajib disolatkan dan solat tersebut dinamakan solat Jenazah. Solat Jenazah tidaklah dikategorikan sebagai solat tathawwu’. Walaupun begitu penulis tetap membahaskan tentang solat Jenazah di dalam buku ini kerana ianya bukan termasuk dalam kategori solat yang fardu ‘ain(iaitu solat lima waktu) yang diwajibkan kepada seluruh umat Islam.


v  HUKUM SOLAT JENAZAH

Solat Jenazah ini hukumnya adalah fardu kifayah yang mana sekira ianya telah dikerjakan oleh sebahagian daripada umat Islam maka ianya telah memadai. Dalil yang menunjukkan ianya adalah fardu kifayah adalah sebuah riwayat daripada Zaid bin Khalid al-Juhani, dia berkata:

أَنَّ رَجُلاً مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تُوُفِّيَ يَوْمَ خَيْبَرَ

فَذَكَرُوا ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ:

 صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ.

فَتَغَيَّرَتْ وُجُوهُ النَّاسِ لِذَلِكَ.

فَقَالَ: إِنَّ صَاحِبَكُمْ غَلَّ فِي سَبِيلِ اللَّهِ.

فَفَتَّشْنَا مَتَاعَهُ فَوَجَدْنَا خَرَزًا مِنْ خَرَزِ يَهُودَ لاَ يُسَاوِي دِرْهَمَيْنِ.
Maksudnya:
Ada seorang sahabat Nabi radhiallahu’ anh meninggal dunia pada perang Khaibar. Ketika hal tersebut diberitahukan kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, baginda pun bersabda:
Solatlah ke atas sahabat kalian ini.
Maka wajah orang-orang pun berubah kerananya. Baginda bersabda:
Sesungguhnya sahabat kalian telah melakukan pengkhianatan di jalan Allah.
Kemudian kami memeriksa barang yang dibawanya dan kami menemukan sebuah perhiasan dari permata kaum Yahudi yang nilainya tidak setara dengan dua dirham – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalamSunannya, Kitab al-Jihaad, no: 2710.

Melalui hadis ini kita dapati baginda tidak turut serta dalam solat Jenazah tersebut dan hanya para sahabat lain mengerjakannya. Sekiranya solat Jenazah itu hukumnya fardu ‘ain tentu baginda akan turut serta mengerjakannya.


v  KEUTAMAAN SOLAT JENAZAH

q  Ganjaran Pahala Yang Besar
Bagi yang mengerjakan solat Jenazah mereka akan dianugerahkan dengan pahala yang besar. Daripada Abu Hurairahradhiallahu’ anh, dia berkata Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ.

قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟

قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ.
Maksudnya:
Barangsiapa yang menyaksikan jenazah sehingga mensolatnya, maka mendapat pahala satu qirath dan barangsiapa yang menyaksikannya sampai jenazah itu dikuburkan, maka dia mendapat dua qirath.
Mereka (para sahabat) bertanya: Apakah maksud dua qirath itu?
Nabi menjawab: Ia sama dengan dua gunung besar. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 945.

q  Sebagai Syafaat Bagi Jenazah
Sekiranya jemaah yang mengerjakan solat Jenazah itu mencapai empat puluh orang atau seratus orang maka AllahSubhanahu wa Ta’ala akan mengabulkan permohonan syafaat mereka terhadap jenazah tersebut.

 Diriwayatkan daripada Kuraib pelayan Ibnu ‘Abbas daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas radhiallahu’ anh bahawasanya anaknya meninggal dunia di Qudaid atau ‘Usfan lalu dia berkata: Wahai Kuraib, lihatlah sekiranya orang-orang sudah berkumpul untuknya (iaitu untuk mensolatkan jenazah tersebut).
Dia (Kuraib) berkata: Lalu aku keluar dan ternyata orang-orang sudah berkumpul untuknya. Aku pun memberitahunya (yakni Ibnu ‘Abbas)
Dia (Ibnu ‘Abbas) bertanya: Apakah mereka berjumlah empat puluh orang?
Dia (Kuraib) menjawab: Ya
Dia (Ibnu ‘Abbas) berkata: Keluarkan jenazahnya kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَا مِنْ رَجُلٍ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيَقُومُ عَلَى جَنَازَتِهِ أَرْبَعُونَ رَجُلاً لاَ يُشْرِكُونَ بِاللَّهِ شَيْئًا

إِلاَّ شَفَّعَهُمْ اللَّهُ فِيهِ.
Maksudnya:
Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia lalu ada empat puluh orang yang mendirikan solat Jenazah baginya, yang mereka tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apa pun, melainkan Allah akan mengabulkan permohonan syafaat mereka untuk jenazah tersebut. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 948.

Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَا مِنْ مَيِّتٍ تُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ يَبْلُغُونَ مِائَةً كُلُّهُمْ يَشْفَعُونَ لَهُ إِلاَّ شُفِّعُوا فِيهِ.

Maksudnya:
Tidaklah seorang yang meninggal dunia lalu disolatkan oleh umat Muslim yang jumlahnya mencapai seratus orang, yang semunya memohon syafaat baginya, melainkan mereka akan diberikan izin memberi syafaat untuk jenazah tersebut. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 947.


v  TATACARA SOLAT JENAZAH

Solat Jenazah merupakan satu solat yang dikerjakan sambil berdiri disertakan dengan sejumlah takbir tanpa rukuk, sujud dan tasyahhud. Seterusnya penulis akan membahaskan tentang tatacara mengerjakan solat Jenazah..

q  Tempat Untuk Mengerjakan Solat Jenazah
Para ulamak berbeza pendapat tentang hukum mengerjakan solat Jenazah di dalam masjid sama ada diharuskan atau tidak. Namun begitu terdapat riwayat yang menunjukkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengerjakan solat Jenazah di dalam masjid.

عَنْ عَبَّادِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ أَنَّ عَائِشَةَ أَمَرَتْ أَنْ يَمُرَّ بِجَنَازَةِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ فِي الْمَسْجِدِ

فَتُصَلِّيَ عَلَيْهِ فَأَنْكَرَ النَّاسُ ذَلِكَ عَلَيْهَا فَقَالَتْ: مَا أَسْرَعَ مَا نَسِيَ النَّاسُ

مَا صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى سُهَيْلِ بْنِ الْبَيْضَاءِ إِلاَّ فِي الْمَسْجِدِ.

Maksudnya:
Daripada ‘Abbad bin ‘Abdillah bin al-Zubair bahawa ‘Aisyah memerintahkan orang-orang agar jenazah Sa’ad bin Abi Waqqash dibawa ke dalam masjid, lalu ‘Aisyah ikut mensolatinya. Melihat hal itu orang-orang mengingkarinya, maka ‘Aisyah menyatakan: Sungguh cepat sekali manusia lupa, tidaklah Rasulullah mensolati Suhail bin al-Baidha’ kecuali di masjid. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 973.

Namun yang lebih sering dilakukan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah mengerjakan solat Jenazah di satu tempat khas di luar masjid (al-Musolla). Daripada Sa’id bin Musayyab bahawa Abu Hurairah berkata:

إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَفَّ بِهِمْ بِالْمُصَلَّى فَكَبَّرَ عَلَيْهِ أَرْبَعًا.

Maksudnya:
Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengatur mereka dalam shaff di musolla lalu baginda bertakbir untuk (jenazah) Najasyi sebanyak empat kali – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 1328.

Pada zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam terdapat sebuah tempat khusus (al-Musolla) untuk mengerjakan solat Jenazah di luar Masjid Nabawi di Madinah. Dalilnya adalah:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ الْيَهُودَ جَاءُوا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

بِرَجُلٍ مِنْهُمْ وَامْرَأَةٍ زَنَيَا فَأَمَرَ بِهِمَا فَرُجِمَا قَرِيبًا مِنْ مَوْضِعِ الْجَنَائِزِ عِنْدَ الْمَسْجِدِ.
Maksudnya:
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar radhiallahu’ anhuma bahawa orang-orang Yahudi datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan membawa seorang lelaki dan seorang wanita di antara mereka yang keduanya telah berzina. Maka Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan agar keduanya direjam berhampiran dengan tempat pelaksanaan solat jenazah di bahagian tepi masjid. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 1329.

Menurut Imam Ibnul Qayyim rahimahullah:

Tidak termasuk kebiasaan dalam hidup Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat Jenazah di dalam masjid secara rutin. Sebaliknya ianya dilakukan di luar masjid. Memang kadang-kadang baginda mengerjakan solat Jenazah di dalam masjid. Keduanya boleh. – Penulis nukil dari  kitab Syaikh ‘Abdullah al-Bassam bertajuk Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, (edisi terjemahan dengan tajukSyarah Bulughul Maram, Pustaka Azzam, Jakarta, 2006), jilid 3, ms. 214.

Menurut Syaikh al-Albani rahimahullah:

Diperbolehkan mensolati jenazah di dalam masjid berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha … Yang lebih utama adalah mensolati jenazah di luar masjid, yakni di tempat khusus yang disediakan untuk mensolati jenazah seperti yang dilakukan pada zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan merupakan sebahagian besar tuntunan baginda. – Rujuk kitab Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Ahkaamul-Janaa’iz wa Bid’ihaa (edisi terjemahan bertajuk Tuntunan Lengkap Mengurus Jenazah, Gema Insani Press, Jakarta 2002), ms. 107.

Dilarang mengerjakan solat Jenazah di kuburan secara sengaja kerana terdapat dalil-dalil yang mengharamkan untuk bersolat di kuburan atau menghadap kuburan. Namun bagi mereka yang tidak sempat mengerjakan solat jenazah sedangkan mayat itu telah dikuburkan, maka dalam situasi sebegini dibenarkan baginya untuk mengerjakan solat Jenazah di kuburan tersebut. Dalilnya adalah seperti riwayat di bawah:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّ بِقَبْرٍ قَدْ دُفِنَ لَيْلاً

فَقَالَ: مَتَى دُفِنَ هَذَا.

قَالُوا: الْبَارِحَةَ.

قَالَ: أَفَلاَ آذَنْتُمُونِي.

قَالُوا: دَفَنَّاهُ فِي ظُلْمَةِ اللَّيْلِ فَكَرِهْنَا أَنْ نُوقِظَكَ.

فَقَامَ فَصَفَفْنَا خَلْفَهُ قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: وَأَنَا فِيهِمْ فَصَلَّى عَلَيْهِ.

Maksudnya:
Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melalui di salah satu kuburan yang baru sahaja dimakamkan pada malam sebelumnya, maka baginda bersabda:
Bilakah orang ini dikuburkan?
Mereka menjawab: Malam tadi.
Baginda bersabda: Mengapa kalian tidak  memberitahu kepada ku?
Mereka menjawab: Kami menguburkannya di tengah kegelapan malam hingga kami tidak suka untuk membangunkan anda.
Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri dan kami membuatkan shaff di belakangnya. Ibnu ‘Abbas berkata: Sedang aku berada di antara mereka dan baginda mensolatinya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalamShahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 1321.

Hadis di atas juga dijadikan dalil bahawa anak-anak kecil juga berdiri dalam shaff yang sama dengan orang dewasa ketika solat Jenazah kerana Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh ketika itu masih kanak-kanak lagi.

q  Solat Jenazah Dilaksanakan Secara Berjemaah.
Seluruh hadis-hadis tentang solat Jenazah menunjukkan ianya dilaksanakan secara berjemaah. Tidak ada satu dalil pun yang menunjukkan baginda pernah melaksanakannya secara berseorangan. Oleh itu diwajibkan solat Jenazah itu dilaksanakan secara berjemaah sesuai dengan tatacara yang diajarkan serta diamalkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sesungguhnya di dalam ibadah solat diwajibkan bagi kita untuk mencontohi baginda sebagaimana sabdanya:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya:
Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalamShahihnya, Kitab al-Azaan, no: 631.

q  Tempat Berdirinya Imam
Sekiranya mayat tersebut adalah lelaki maka Imam berdiri lurus di kepala mayat tersebut. Seandainya mayat tersebut adalah perempuan maka Imam berdiri di tengah-tengah mayat tersebut. Dalilnya adalah seperti berikut:

عَنْ أَبِي غَالِبٍ قَالَ: صَلَّيْتُ مَعَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَلَى جَنَازَةِ رَجُلٍ فَقَامَ حِيَالَ رَأْسِهِ

ثُمَّ جَاءُوا بِجَنَازَةِ امْرَأَةٍ مِنْ قُرَيْشٍ فَقَالُوا: يَا أَبَا حَمْزَةَ صَلِّ عَلَيْهَا. فَقَامَ حِيَالَ وَسَطِ السَّرِير.ِ

فَقَالَ لَهُ الْعَلاَءُ بْنُ زِيَادٍ: هَكَذَا رَأَيْتَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ عَلَى الْجَنَازَةِ مُقَامَكَ مِنْهَا

وَمِنْ الرَّجُلِ مُقَامَكَ مِنْهُ: قَالَ: نَعَمْ. فَلَمَّا فَرَغَ قَالَ: احْفَظُوا.

Maksudnya:
Daripada Abu Ghalib, dia berkata: Aku pernah solat bersama Anas bin Malik ke atas seorang jenazah lelaki, dia berdiri di hadapan kepalanya. Kemudian orang-orang membawa jenazah perempuan dari suku Quraisy dan mereka berkata: Wahai Abu Hamzah, solatlah ke atasnya. Maka dia berdiri di bahagian tengah mayat tersebut. Setelah itu al-‘Ala’ bin Ziyad bertanya kepadanya: Beginikah engkau dulu menyaksikan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri saat mensolatkan jenazah wanita seperti tempatmu (berdiri) tadi? Dia menjawab: Ya. Setelah selesai dia berkata: Ingatlah selalu. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Janaaiz, no: 955.

Sekiranya terdapat beberapa jenazah yang bercampur di antara lelaki mahupun perempuan maka Imam boleh membuat pilihan sama ada untuk mengerjakan solat Jenazah tersebut satu persatu ataupun secara serentak untuk semua jenazah. Sekiranya solat dilakukan serentak maka posisi jenazah lelaki (walaupun masih kanak-kanak) berada di hadapan imam sedangkan jenazah wanita diletakkan setelah jenazah lelaki (dalam satu barisan panjang) sesuai dengan arah kiblat. Dalilnya adalah sebuah riwayat daripada Nafi’:

أَنَّ ابْنَ عُمَرَ صَلَّى عَلَى تِسْعِ جَنَائِزَ جَمِيعًا فَجَعَلَ الرِّجَالَ يَلُونَ الإِمَامَ وَالنِّسَاءَ يَلِينَ الْقِبْلَةَ

فَصَفَّهُنَّ صَفًّا وَاحِدًا وَوُضِعَتْ جَنَازَةُ أُمِّ كُلْثُومِ بِنْتِ عَلِيٍّ امْرَأَةِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَابْنٍ لَهَا

يُقَالُ لَهُ زَيْدٌ وُضِعَا جَمِيعًا وَالإِمَامُ يَوْمَئِذٍ سَعِيدُ بْنُ الْعَاصِ وَفِي النَّاسِ ابْنُ عُمَرَ وَأَبُو هُرَيْرَةَ

وَأَبُو سَعِيدٍ وَأَبُو قَتَادَةَ فَوُضِعَ الْغُلامُ مِمَّا يَلِي الإِمَامَ فَقَالَ رَجُلٌ: فَأَنْكَرْتُ ذَلِكَ.

فَنَظَرْتُ إِلَى ابْنِ عَبَّاسٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ وَأَبِي سَعِيدٍ وَأَبِي قَتَادَةَ

فَقُلْتُ: مَا هَذَا؟ قَالُوا: هِيَ السُّنَّةُ.

Maksudnya:
Bahawasanya Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh pernah mengerjakan solat ke atas sembilan jenazah sekaligus. Jenazah lelaki ditempatkan dekat (yakni di hadapan) dengan Imam. Sedangkan jenazah perempuan setelahnya sesuai dengan arah kiblat. Jenazah-jenazah itu ditempatkan dalam satu barisan, lalu jenazah Ummu Kultsum binti ‘Ali, isteri ‘Umar bin al-Khatthab dan puteranya yang bernama Zaid ditempatkan di satu tempat. Pada saat itu yang menjadi Imam adalah Sa’id bin al-‘Asha, sedangkan di antara jemaah yang ikut adalah Ibnu ‘Umar, Abu Hurairah, Abu Sa’id dan Abu Qatadah. Lalu diletakkan jenazah anak kecil dekat dengan Imam. Kemudian ada seseorang yang menyatakan: Aku tidak boleh terima hal tersebut. Aku pun melihat ke arah Ibnu ‘Abbas, Abu Hurairah, Abu Sa’id dan Abu Qatadah lalu ku katakan: Bagaimana ini? Mereka menjawab: Itulah yang disunnahkan. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Janaaiz, no: 1952.

q  Susunan Shaff Dalam Solat Jenazah
Disunnahkan untuk menyusun shaff menjadi tiga barisan. Dalil yang menguatkan hujah ini adalah sebuah riwayat daripada Malik bin Hubairah, dia berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيُصَلِّي عَلَيْهِ ثَلاَثَةُ صُفُوفٍ مِنْ الْمُسْلِمِينَ إِلاَّ أَوْجَبَ.

Maksudnya:
Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia lalu disolatkan oleh tiga shaff kaum Muslimin, melainkan diwajibkan (baginya syurga). – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Janaaiz, no: 2753.

q  Jumlah Takbir Dalam Solat Jenazah
Sebenarnya terdapat variasi dalam jumlah takbir yang dilakukan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika mengerjakan solat Jenazah iaitu empat, lima, enam, tujuh dan sembilan kali takbir. Tentang perbezaan jumlah takbir ini Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:

Semua itu diriwayatkan daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan yang mana sahaja dilakukan bererti telah mengikuti sunnah. Akan tetapi yang lebih utama adalah melakukannya secara variasi, adakalanya dengan empat, lima dan sembilan takbir… Namun bila kita diharuskan untuk berpegang kepada salah satunya, maka dengan empat takbir itulah yang paling tepat memandangkan terdapat banyaknya riwayat yang menceritakannya. - Rujuk kitab Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Ahkaamul-Janaa’iz wa Bid’ihaa, ms. 110.

Berikut kita akan melihat dalil-dalil tentang jumlah takbir dalam solat Jenazah:

1)      Empat Kali

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي

مَاتَ فِيهِ وَخَرَجَ بِهِمْ إِلَى الْمُصَلَّى فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ عَلَيْهِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ.

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengumumkan berita kematian Najasyi pada hari kematiannya lalu baginda keluar beserta mereka ke musolla dan mengatur mereka dalam shaff kemudian bertakbir empat kali. – Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dalamShahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 1333.

2)      Lima Kali
Daripada ‘Abdurrahman bin Abi Laila dia berkata:

كَانَ زَيْدٌ يُكَبِّرُ عَلَى جَنَائِزِنَا أَرْبَعًا وَإِنَّهُ كَبَّرَ عَلَى جَنَازَةٍ خَمْسًا فَسَأَلْتُهُ

فَقَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكَبِّرُهَا.

Maksudnya:
Zaid (bin Arqam) mensolatkan jenazah kami dengan takbir empat kali. Dia juga pernah bertakbir lima kali atas satu jenazah. Akupun bertanyakan kepadanya mengenai hal itu. Dia menjawab: Rasulullah pernah melakukan.- Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 957.

3)      Enam Kali
Daripada ‘Abdu Khair, daripada ‘Ali:

أَنَّهُ كَانَ يُكَبِّرُ عَلَى أَهْلِ بَدْرٍ سِتًّا وَعَلَى أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ خَمْسًا وَعَلَى سَائِرِ النَّاسِ أَرْبَعًا.

Maksudnya:
Sesungguhnya dia pernah mensolatkan jenazah ahli Badar melakukan takbir enam kali dan kepada segenap sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam lima kali takbir sedangkan kepada orang lain dengan empat kali takbir. – Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf (II/303) dan al-Daruquthni dalam al-Sunan (II/73).

4)      Tujuh Kali
Daripada Musa bin ‘Ubaidillah bin Yazid:

 أن عليا صلى على أبي قتادة فكبر عليه سبعا، وكان بدريا
Maksudnya:
Bahawa ‘Ali radhiallahu’ anh pernah mensolatkan Abu Qatadah dengan bertakbir tujuh kali, beliau adalah seorang yang ikut serta perang Badar. – Hadis riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam al-Mushannaf (II/304) dan al-Thahawi dalam Syarhu Ma’aani al-Aatsaar (I/496).

Walaupun kedua-dua hadis yang menunjukkan takbir sebanyak enam dan tujuh kali ini مَوْقُوْفُ yakni ianya hanyalah perbuatan yang disandarkan kepada sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu ‘Ali radhiallahu’ anh namun begitu hukumnya مَرْفوْعُ (sanadnya bersambung sehingga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam) kerana ianya dilakukan oleh seorang sahabat besar di hadapan para sahabat yang lain tanpa bantahan daripada mereka. Sekiranya amalan tersebut bertentangan dengan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam pasti ianya akan mendapat tentangan daripada para sahabat yang lain.

5)      Sembilan Kali
Daripada ‘Abdullah bin al-Zubair dia berkata:

أمر به فهيئ إلى القبلة، ثم كبر عليه تسعا، ثم جمع إليه الشهداء، كلما أتي بشهيد وضع إلى

حمزة، فصلى عليه، وعلى الشهداء معه حتى صلى عليه، وعلى الشهداء اثنين وسبعين صلاة

Maksudnya:
Sesungguhnya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan pada hari terjadinya perang Uhud untuk membawa kepada beliau mayat Hamzah seraya menyelimuti jasadnya dengan burdah (kain tebal serban baginda) kemudian mensolatkannya. seraya bertakbir sembilan kali. Kemudian baginda mendatangi para korban yang lain dan membariskan jenazah mereka, setelah itu baginda mensolatkan jenazah mereka dan Hamzah secara bersama – Hadis riwayat al-Thahawi dalam Syarhu Ma’aani al-Aatsaar (I/503).

q  Tatacara Mengangkat Tangan Semasa Takbir Dalam Solat Jenazah
Ulamak berbeza pendapat dalam hal ini yang dapat kita bahagikan menjadi dua:

Pertama: Mengangkat tangan hanya pada takbir yang pertama sahaja sedangkan bagi takbir yang seterusnya tangan kanan tetap berada di atas tangan kiri yang bersedekap di dada tanpa mengangkatnya. Dalilnya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَبَّرَ عَلَى جَنَازَةٍ فَرَفَعَ يَدَيْهِ فِي أَوَّلِ تَكْبِيرَةٍ

وَوَضَعَ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى.

Maksudnya:
Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertakbir ketika mensolatkan jenazah dengan mengangkat kedua tangannya pada takbir pertama dan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Janaaiz, no: 1077.

Hadis di atas diperkuatkan lagi oleh sebuah riwayat daripada ‘Abdullah Ibnu ‘Abbas, dia berkata:

أن رسول الله كان يرفع يديه على الجنازة في أول تكبيرة، ثم لا يعود

Maksudnya:
Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dahulu apabila mensolatkan jenazah mengangkat kedua tangannya pada takbir pertama kemudian tidak mengangkat lagi. – Hadis riwayat Imam al-Daruquthni dalamSunannya (II/75).

Para ulamak yang berpegang kepada pendapat pertama ini adalah Imam al-Thawri, sebuah riwayat daripada Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Ibnu Hazm, al-Syaukani, Sayyid Sabiq dan al-Albani.

Menurut Syaikh al-Albani rahimahullah:

Setakat yang saya ketahui, tidak ada dalam al-Sunnah keharusan mengangkat kedua tangan dalam melaksanakan solat Jenazah kecuali pada takbir pertama. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi dan lainnya yang merupakan pilihan al-Syaukani dan selainnya dari kalangan penyelidik, termasuk yang difahami oleh Ibnu Hazm yang menyatakan:
Adapun mengenai mengangkat kedua tangan tidaklah kita dapati daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam riwayat yang menyatakan sedemikian kecuali hanya pada takbir yang pertama. Oleh kerana itu tidaklah diperbolehkan mengangkat kedua tangan dalam setiap takbir saat melakukan solat Jenazah sebab hal itu merupakan amal dalam solat yang tidak dilandasi nas. - Rujuk kitab Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Ahkaamul-Janaa’iz wa Bid’ihaa, ms. 115.

Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah pula berpendapat:

Menurut sunnah tidaklah diangkat kedua tangan pada solat Jenazah kecuali pada takbir pertama sahaja kerana tidak diterima keterangan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengangkat tangannya waktu takbir-takbir solat Jenazah kecuali takbir pertama sahaja. – Rujuk Sayyid Sabiq, Fiqhu as-Sunnah, (edisi terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990), jilid 4, ms. 98.

Kedua: Mengangkat tangan pada setiap takbir. Mereka melihat hadis-hadis yang digunakan oleh mereka yang berpegang kepada pendapat pertama kesemuanya memiliki kelemahan sehinggakan tidak dapat untuk saling memperkuatkan di antara satu sama lain. Tambahan pula Imam al-Tirmidzi setelah meriwayatkan hadis tersebut telah berkata:

Hadis ini gharib. Kami tidak mengetahui selain dari bentuk ini. Para ulamak berbeza pendapat mengenai hal ini. Sebahagian besar sahabat Nabi berpendapat bahawa orang yang mensolati jenazah hendaklah mengangkat kedua tangannya pada setiap takbir. Pendapat ini dipegang oleh Ibnul Mubarak, al-Syafi’i, Ahmad dan Ishaq. Namun sebahagian lain berpendapat tidak mengangkat kedua tangan kecuali pada takbir pertama sahaja. Di antara mereka yang berpendapat demikian adalah al-Thawri dan ulamak Kufah.

Gharib bermaksud yang asing, yang jauh, yang aneh atau yang susah difahami. Hadis Gharib bermaksud hadis yang diriwayatkan dengan satu sanad atau hadis yang seorang perawi bersendiri dalam meriwayatkannya.

Terdapat juga sebuah riwayat daripada Ibnu ‘Umar bahawasanya dia mengangkat kedua tangannya ketika solat Jenazah pada setiap kali takbir, dia juga mengangkat tangannya pada setiap kali berdiri dari rakaat kedua. – Hadis riwayat Imam al-Baihaqi dan menurut Syaikh al-Albani dalam Ahkaamul-Janaa’iz wa Bid’ihaa, ms. 116 sanadnya sahih.

Apa yang benar sanadnya mauquf iaitu terhenti hanya kepada Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh sahaja. Walaupun begitu Syaikh Kamal bin al-Sayyid Salim berkata:

Banyak sekali pendapat yang timbul berkaitan dengan hal ini (iaitu mengangkat tangan ketika takbir untuk solat jenazah) namun yang paling kuat adalah pendapat kedua; dengan merujuk kepada apa yang dilaksanakan oleh Ibnu ‘Umar (dan dia adalah seorang sahabat yang bersungguh-sungguh dalam mengikuti sunnah Nabi) apatah lagi bahawa Ibnu ‘Umar dikenali sebagai seseorang yang tidak melakukan sesuatu kecuali apa yang dicontohkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Wallahu a’lam. – rujuk Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 1009.

Pendapat ini juga merupakan pegangan Imam al-Syafi’i rahimahullah. Dia berkata:

Takbir pada solat Jenazah dibaca empat kali sambil mengangkat tangan pada setiap takbir. - Rujuk Abu ‘Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafi’i, Mukhtasar Kitab al-Umm fiil Fiqhi, diringkaskan dan diteiliti oleh Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail (edisi terjemahan dengan tajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Pustaka Azzam, Jakarta, 2005), jilid 1, ms. 392.

Penulis terbuka kepada kedua-dua pendapat di atas kerana ianya adalah termasuk dalam hal-hal khilafiyyah.

q  Membaca Surah Al-Fatihah Selepas Takbir Pertama
Berbeza dengan solat-solat lain, solat jenazah tidak dibacakan doa iftitah dan ini merupakan pendapat jumhur (majoriti) para ulamak. Apa yang sabit daripada hadis-hadis baginda adalah setelah takbir pertama dibacakan surah al-Fatihah dan satu surah dari al-Qur’an secara perlahan (sirr).

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ: صَلَّيْتُ خَلْفَ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَلَى جَنَازَةٍ

فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ. قَالَ: لِيَعْلَمُوا أَنَّهَا سُنَّةٌ.

Maksudnya:
Daripada Thalhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf dia berkata: Aku solat jenazah di belakang Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh, maka beliau membaca surah al-Fatihah. Beliau berkata: Agar mereka mengetahui bahawa ia termasuk sunnah. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 1335.

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ صَلَّيْتُ خَلْفَ ابْنِ عَبَّاسٍ عَلَى جَنَازَةٍ فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

وَسُورَةٍ وَجَهَرَ حَتَّى أَسْمَعَنَا فَلَمَّا فَرَغَ أَخَذْتُ بِيَدِهِ فَسَأَلْتُهُ فَقَالَ سُنَّةٌ وَحَقٌّ

Daripada Thalhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf dia berkata: Aku solat jenazah dibelakang Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh, maka beliau membaca surah al-Fatihah dan satu surah al-Qur’an serta mengeraskan bacaan sehingga kami mendengarnya. Setelah selesai, aku pun menarik tangannya dan bertanya kepadanya. Dia menjawab: Itu adalah Sunnah dan benar. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Janaaiz, no: 1961.

Menerusi dua hadis di atas ia menunjukkan Ibnu ‘Abbas membaca surah al-Fatihah secara kuat (jahar) namun beliau memperjelaskan tindakannya itu hanya untuk memberitahu kepada orang ramai bahawa membacanya dalam solat jenazah merupakan sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Hadis di bawah daripada Abu Umamah radhiallahu’ anhmenunjukkan bahawa bacaan dalam solat Jenazah adalah secara perlahan (sirr):

السُّنَّةُ فِي الصَّلاَةِ عَلَى الْجَنَازَةِ أَنْ يَقْرَأَ فِي التَّكْبِيرَةِ الأُولَى بِأُمِّ الْقُرْآنِ مُخَافَتَةً ثُمَّ يُكَبِّرَ ثَلاَثًا وَالتَّسْلِيمُ.

Maksudnya:
Berdasarkan al-Sunnah mensolati jenazah adalah membaca al-Fatihah sesudah takbir pertama secara perlahan, kemudian diikuti dengan takbir sebanyak tiga kali dan sesudahnya salam. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Janaaiz, no: 1963.

q  Membaca Selawat Ke Atas Nabi Selepas Takbir Kedua
Menurut Imam al-Syafi’i rahimahullah setelah takbir kedua hendaklah dibacakan selawat kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam juga secara sirr. Imam al-Syafi’i berkata:

Surah al-Fatihah dibaca pada takbir pertama, kemudian berselawat ke atas Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam (iaitu setelah takbir kedua). Kemudian berdoa untuk kaum Muslimin baik lelaki mahupun wanita, lalu kemudian mengkhususkan doa untuk jenazah tersebut. - Rujuk Abu ‘Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafi’i, Mukhtasar Kitab al-Umm fiil Fiqhi, diringkaskan dan diteiliti oleh Hussain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, jilid 1, ms. 393.

Imam al-Syafi’i berdalilkan sebuah riwayat daripada Abu Umamah:

أن السنة في الصلاة على الجنازة أن يكبر الامام، ثم يقرأ بفاتحة الكتاب

بعد التكبيرة الاولى سرا في نفسه، ثم يصلي على النبي صلى الله عليه وسلم،

ويخلص الدعاء للجنازة في التكبيرات (الثلاث)، لا يقرأ في شئ منهم،

ثم يسلم سرا في نفسه (حين ينصرف (عن يمينه)، والسنة أن يفعل من وراءه مثلما فعل إمامه)

Maksudnya:
Berdasarkan al-Sunnah mensolati jenazah adalah membaca al-Fatihah sesudah takbir pertama secara perlahan, kemudian dibaca selawat Nabi, kemudian dengan ikhlas mendoakan jenazah pada semua takbir, namun tidak membaca bacaan apapun pada takbir-takbir tersebut. Selanjutnya, membaca salam secara perlahan (sirr). Berdasarkan al-Sunnah orang-orang yang di belakang imam melakukan seperti yang dilakukan imamnya– Hadis riwayat Imam al-Syafi’i dalam al-Umm dan Imam al-Baihaqi. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar ‘Asqalani sanadnya sahih.

Bacaan selawat Nabi hendaklah menggunakan lafaz-lafaz yang sabit datangnya daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang merupakan contoh ikutan kita yang terbaik. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). - al-Ahzaab (33) :21

Menurut Syaikh Abu Ubaidah:

Setelah kita ketahui bahawa bacaan selawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan satu ibadah dan sesuatu bersifat tauqify (terhenti sebagaimana ajaran Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) maka kita semua wajib membaca selawat kepada baginda dengan lafaz yang telah ditetapkan...Kita tidak boleh menambah mahupun menggubah lafaz yang telah ditetapkan dengan bentuk formula selawat yang baru. Kerana tindakan itu merupakan salah satu bentuk pembangkangan terhadap pemilik syari’at (iaitu Allah Ta’ala) yang sebenarnya harus kita patuhi dan kita cintai dengan sepenuh hati. – rujuk Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin, ms. 162.

PERTAMA:
Daripada ‘Abdurrahman bin Abi Lailah dia berkata: Saya berjumpa dengan Ka’ab bin Abi Lailah lalu dia berkata: Mahukah aku hadiahkan kepadamu satu hadiah yang aku pernah mendengarnya dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam? Jawabku: Boleh! Hadiahkanlah kepadaku! Dia berkata: Kami (para sahabat) pernah bertanya kepada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bagaimana (cara) berselawat kepada kamu (wahai) ahlul bait, kerana sesungguhnya Allah telah mengajarkan kepada kami bagaimana (caranya) kami memberi salam (kepadamu)?
Dalam Riwayat lain: Ya Rasulullah sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana (caranya) kami mengucapkan salam kepada mu, maka bagaimanakah cara kami berselawat kepada mu?
Baginda menjawab : Ucapkanlah oleh kalian

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya:
(Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalamShahihnya, Kitab Ahadith al-Anbiya’, no: 3370.

KEDUA:
Dari Musa bin Talhah, dari bapanya (iaitu Thalhah bin ‘Ubaidullah) dia berkata : Kami (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah (caranya) berselawat kepadamu? Baginda bersabda: Ucapkanlah oleh kalian:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya:
(Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.) - Hadis riwayat Ahmad dalam MusnadnyaAhmad, no. 1323 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Sahwa, no. 1273 dan 1274.

KETIGA:
Dari Abi Mas’ud al-Anshari, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam datang kepada kami sedang kami berada di majlis Sa’ad bin ‘Ubadah. Kemudian Basyir bin Sa’ad bertanya kepada baginda: Allah Ta’ala telah memerintahkan kepada kami berselawat kepada mu ya Rasulullah, maka bagaimanakah (caranya) kami berselawat kepada mu? Kata Abi Mas’ud: Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam diam sehingga kami ingin kalau sekiranya dia (Basyir bin Sa’ad) tidak bertanya kepada baginda. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Ucaplah oleh kalian:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ

وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Maksudnya:
(Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, atas seluruh alam sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.)... - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Sahwa, no. 1268 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab Tafseer al-Qur’an, no. 3144.

KEEMPAT:
Abu Humaid al-Saa’idi dia berkata: Bahawasanya mereka (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, bagaimana (caranya) kami berselawat kepada mu? Jawab baginda: Ucapkanlah oleh kalian

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ فِي حَدِيثِ الْحَارِثِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ

وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ قَالاَ جَمِيعًا كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

 Maksudnya:
(Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.) - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Anbiya’, no. 3369 dan Kitab al-Da’wat, no. 6360. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Sholaah, no. 407.

Selain dari selawat-selawat di atas terdapat beberapa lagi cara selawat yang telah diajar oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang boleh kita dapati dari hadis-hadis sahih yang boleh dimanfaatkan dalam bacaan untuk selawat pada takbir yang kedua ketika solat Jenazah. Maka sewajarnya kita untuk mencontohi cara bacaan yang benar-benar telah diajar sendiri oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam

q  Membaca Doa Ke Atas Jenazah Pada Takbir-Takbir Berikutnya
Pada takbir-takbir yang berikutnya hendaklah dibacakan doa secara ikhlas kepada jenazah tersebut. Sebagaimana bacaan ketika selawat ke atas Nabi, bacaan doa ini juga hendaklah mencontohi lafaz-lafaz yang telah diajar oleh Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam. Tentang anjuran untuk mengikhlaskan doa kepada jenazah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِذَا صَلَّيْتُمْ عَلَى الْمَيِّتِ فَأَخْلِصُوا لَهُ الدُّعَاءَ
Maksudnya:
Jika kalian mensolati jenazah, maka doakanlah kepadanya dengan penuh keikhlasan. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab Ma Jaa’a fii al-Janaaiz, no: 1486.

Beberapa contoh doa yang sabit daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam Solat Jenazah adalah:

PERTAMA:
Daripada ‘Auf bin Malik, dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mensolatkan satu jenazah. Dia pun menghafal di antara doa baginda, yakni baginda mengucapkan:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ

وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ

وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ

وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ.

Maksudnya:
Ya Allah, berikanlah ampunan kepadanya, sayangilah dia, maafkan dan ampunilah dia, muliakan tempatnya, luaskan tempat masuknya, serta mandikanlah dia dengan air, salju dan embun; bersihkanlah dia dari kesalahan-kesalahan sebagaimana baju putih dibersihkan dari kotoran; berikanlah dia pengganti tempat tinggal yang lebih baik dari tempat tinggalnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya, dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya; masukkanlah dia ke syurga serta lindungilah dia dari azab kubur (atau azab neraka)
Dia berkata (yakni ‘Auf): Sampai aku berharap seandainya aku yang menjadi jenazah tersebut. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Janaaiz, no: 963.

KEDUA:
Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w mensolatkan jenazah, maka sabda baginda waktu berdoa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا

اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلاَمِ

اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya:
Ya Allah, ampunilah orang yang masih hidup di antara kami dan yang telah mati, orang yang hadir di antara kami dan yang ghaib, anak-anak kecil dan dewasa, lelaki dan wanita. Ya Allah, orang yang Engkau hidupkan di antara kami, hidupkan dia dalam keadaan Iman dan yang Engkau matikan, matikanlah dalam keadaan Islam. Ya Allah, jangan Engkau haramkan atas kami pahalanya dan jangan sesatkan kami setelahnya.– Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Janaaiz, no: 2786.

KETIGA:
Daripada Waathilah bin al-Asqa’, dia berkata: Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mensolatkan seorang (jenazah) lelaki Islam bersama kami, maka saya dengar baginda mengucapkan:

أَلاَ إِنَّ فُلاَنَ بْنَ فُلاَنٍ فِي ذِمَّتِكَ وَحَبْلِ جِوَارِكَ فَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ

أَنْتَ أَهْلُ الْوَفَاءِ وَالْحَقِّ اللَّهُمَّ فَاغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya:
Sesungguhnya si Fulaan bin Fulaan adalah dalam tanggungan-Mu dan ikatan perlindungan-Mu, maka lindungilah dia dari bencana kubur, siksa neraka, sesungguhnya Engkau menepati janji dan penegak kebenaran. Ya Allah ampunilah dia dan kasihanilah dia, kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Penyayang. – Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 15443.

q  Mengucapkan Salam
Sebagaimana solat-solat lain, solat Jenazah ini juga ditutup dengan mengucapkan dua kali salam ke kanan dan ke kiri. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas’ud radhiallahu’ anh, dia berkata:

ثلاث خلال كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يفعلهن تركهن الناس،

إحداهن التسليم على الجنازة مثل التسليم في الصلاة

Maksudnya:
Ada tiga perkara yang selalu dikerjakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan ditinggalkan oleh orang-orang, salah satunya adalah mengucapkan salam pada solat Jenazah seperti salam dalam solat lainnya – Hadis riwayat Imam al-Baihaqi dalam al-Kubraa (IV/43).

Diperbolehkan juga untuk mengucap hanya dengan satu salam ke sebelah kanan sahaja. Daripada Abu Hurairahradhiallahu’ anh:

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم صلى على جنازة، فكبر عليها أربعا، وسلم تسليمة واحدة

Maksudnya:
Bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mensolatkan seorang jenazah, baginda pun bertakbir empat kali di dalamnya dan mengucapkan salam satu kali. – Hadis riwayat Imam al-Daruquthni dalam kitab al-Sunan, (II/72).

Ucapan salam tersebut hendaklah dilafazkan secara perlahan (sirr). daripada Abu Umamah:

أن السنة في الصلاة على الجنازة أن يكبر الامام، ثم يقرأ بفاتحة الكتاب

بعد التكبيرة الاولى سرا في نفسه، ثم يصلي على النبي صلى الله عليه وسلم،

ويخلص الدعاء للجنازة في التكبيرات (الثلاث)، لا يقرأ في شئ منهم،

ثم يسلم سرا في نفسه (حين ينصرف (عن يمينه)، والسنة أن يفعل من وراءه مثلما فعل إمامه)

Maksudnya:
Berdasarkan al-Sunnah mensolati jenazah adalah membaca al-Fatihah sesudah takbir pertama secara perlahan, kemudian dibaca selawat Nabi, kemudian dengan ikhlas mendoakan jenazah pada semua takbir, namun tidak membaca bacaan apapun pada takbir-takbir tersebut. Selanjutnya, mengucapkan salam secara perlahan (sirr). Berdasarkan al-Sunnah orang-orang yang di belakang imam melakukan seperti yang dilakukan imamnya – Hadis riwayat Imam al-Syafi’i dalam al-Umm dan Imam al-Baihaqi. Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar ‘Asqalani sanadnya sahih.

q  Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Jenazah
  1. Imam berdiri berhadapan dengan kepala mayat lelaki. Sekiranya mayat tersebut perempuan maka imam berdiri berhadapan dengan bahagian tengah badan mayat tersebut.
  2. Menyusun tiga shaff (barisan)
  3. Niat di dalam hati untuk mengerjakan solat Jenazah
  4. Takbiratul Ihram (takbir pertama)
  5. Membaca surah al-Fatihah
  6. Takbir kedua
  7. Membaca selawat ke atas Nabi
  8. Takbir ketiga
  9. Mendoakan ke atas mayat
  10. Takbir keempat
  11. Mendoakan ke atas mayat
  12. Memberi salam ke kanan dan ke kiri